KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas kenderaan jenis Toyota Hilux dinaikinya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 206.9 Lebuh raya Pantai Timur (LPT1) di sini semalam.
Kejadian menyaksikan trak pikap tersebut remuk teruk menyebabkan Choo Woei Shyong,54 yang berada di tempat duduk belakang meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga penumpang dan pemandu mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu berlaku ketika mangsa Choo Woei Shyong, 54, bersama empat lagi rakannnya dalam perjalanan dari arah Terengganu ke Perak.
“Apabila sampai di tempat kejadian ketika sedang bergerak lurus kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang jalan dan terbabas ke konkrit penghadang jalan.
“Akibat kejadian seorang penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan tiga penumpang lagi mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
Dalam pada itu beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan rata dan semasa kejadian permukaan jalan adalah kering.
“Polis telah mengambil sampel darah dan urin pemandu untuk tujuan toksilogi dan mengesan saksi yang melihat kejadian,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE