IBARAT luka lama berdarah kembali, legenda rock tanah air, Datuk Amy Search tidak berhenti meluahkan amarahnya terhadap bekas rakan sekumpulannya, Din dan Kid.
Menurutnya, dua beradik itu kini ‘membisu’ mengenai royalti album Rockology Search: Kid’Din Collection.
Ditanya tentang kemungkinan mahu berdamai atau berbaik semula dengan dua individu terbabit, terutama sebelum terbang menunaikan fardu haji pada 6 Jun depan, Amy seperti memberi bayangan perkara tersebut tidak akan berlaku dalam masa terdekat.
“Saya rasa sudah penat dengan segala kerenah mereka. Saya pun tak selalu cakap perkara yang sebenar-benarnya.
“Mereka pun tidak bercakap secara jujur apa yang sebenarnya berlaku antara kami. Apa sebab perpecahan ini berlaku, siapa penyebabnya. Selepas insiden yang berlaku, saya memang nekad tinggalkan mereka.
“Saya sangat terkilan dengan kejadian antara kami. Sebelum ini (waktu kami masih okey), walaupun mereka tak datang latihan persiapan konsert selama tiga minggu.
“Kami bekerja begitu kuat untuk band ini tetapi mereka waktu itu kerja sambil lewa dan tiada rasa tanggungjawab,” ujar Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abd. Rahman, 66, pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Villa Zamara baru-baru ini.
Amy juga sedar, banyak pihak yang membuat spekulasi, meletakkan 100 peratus kesalahan di bahunya, namun tidak mengetahui apa sebenarnya yang terjadi antara mereka.
“Mereka cakap berpusing-pusing yang memfitnah saya dan juga Nasir (pemain bass).
“Selama ini, saya lalui semua dengan penuh kesabaran. Mereka kata saya begitu, begini tetapi saya bersabar, alhamdulillah,” katanya.
Amy juga terpanggil memberi komen tentang pengakuan vokalis ‘sementara’ Kid dan Din iaitu Denden Gonzales yang membuat pendedahan bahawa dua beradik itu banyak berkata buruk di belakangnya sewaktu bertindak sebagai penyanyi Search sebelum ini.
“Kata Denden, mereka cakap, dia sudah tua dan tak boleh menyanyi lagi.
“Dendeng cakap kepada saya, dia sendiri rasa terperangkap ketika berkhidmat sementara untuk Search yang lagi satu itu.
“Saya kasihankan Denden kerana dia punya bakat yang bagus tetapi dipergunakan sedemikian rupa. Tak baguslah sebab dia (Denden) mencari rezeki, namun pengakhirannya begini,” ujar Amy lagi.
Royalti
Mengulas soal royalti album Rockology Search: Kid’Din Collection yang diterbitkan tanpa mendapat persetujuannya dan Nasir, Amy berkata, dia tidak menghalalkan segala wang yang masuk ke poket dua individu terbabit.
“Saya tak halalkan sebab kami juga berhak terima royalti album Rockology.
“Kami juga berhak dapat royalti album Rockology Search: Kid’Din Collection Series yang mereka keluarkan tanpa pengetahuan saya dan Nasir.
“Banyak benda yang mereka langgar sedangkan mereka tahu tindakan itu salah. Paling tidak seronok apabila mereka cakap agihan royalti yang mereka ingin berikan kepada kami mengikut belas kasihan mereka,” jelas Amy.
Tegasnya, perbuatan Kid dan Din seolah-olah merompak hasil titik peluh anggota Search yang lain.
“Semasa Covid-19 dahulu, mereka ada beritahu hidup susah. Nasir cuba dapatkan kontrak digital dan bayaran penjualan barangan cenderahati sehingga setiap seorang berjaya dapat sekitar RM50,000.
“Kami akan berbincang dengan pihak peguam mengenai perkara ini kerana saya rasa apa yang mereka lakukan merupakan satu contoh yang tidak baik.
“Dahulu kita berkempen pasal cetak rompak, tapi hari ini kawan sendiri yang rompak hasil titik peluh bersama,” luah Amy panjang lebar.
Kumpulan Search kini berpecah dua iaitu yang dianggotai pemain gitar adik-beradik, Noordin dan Kid serta satu lagi kumpulan dianggotai Amy, Nasir Daud (bass), Man Kidal (gitar) dan Hillary Ang (gitar) yang turut menggunakan nama sama iaitu Search.