PETALING JAYA – Enggan lagi menipu masyarakat, pelakon Myra Natasya mengakui dirinya anak luar nikah kepada penyampai radio Halim Othman.
Kongsi Myra atau nama lengkapnya Yusmyra Natasya Abdullah, 29, Halim dan ibunya tidak pernah berkahwin di Thailand seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini.
“Ibu bapa saya tidak pernah berkahwin. Apabila saya ceburi bidang seni, saya beritahu dia supaya jangan risau dan akan lindungi nama baiknya selain beritahu media mereka nikah di Thailand.
“Saya terpaksa menipu ketika membuat kenyataan kepada media tetapi sebenarnya saya adalah anak tidak sah taraf,” katanya.
Dalam masa sama, Myra meluahkan rasa kecewa dengan Halim kerana tindakannya yang bukan sahaja membelakangkannya bahkan seolah-olah cuba menutup cerita sebenar.
“Sebelum ini saya selalu merayu kepadanya untuk memberitahu saya adalah anaknya. Selepas menceburi bidang hiburan pada 2019, barulah dia izinkan saya dedah cerita sebenar,” ujarnya.
Myra yang kini bergelar jurulatih pasukan sorak pernah berkongsi tangkap layar perbualannya bersama Halim mengenai pertukaran maklumat bapanya dalam maklumat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tiga tahun lalu.
Myra berkonfrantasi dengan Halim mengenai maklumat bapa dan nama bapa angkatnya dalam surat beranaknya. Halim juga bertegas tidak perlu meminta izin anaknya ketika menukar makumat dalam sijil kelahiran tersebut.
“Saya tidak perlu izin awak (Myra) untuk menukar maklumat bapa. Tanpa gen saya, awak tidak akan wujud. Syukurlah,” kata Halim selepas Myra mempersoalkan isu penamaan bapa dalam sijil kelahirannya.
Myra juga pernah mendedahkan bahawa dia tidak berbintikan Halim kerana personaliti terkenal itu dan ibunya iaitu Yusnita Omar bernikah di Thailand pada 1995.
Dia turut memberitahu ibu bapanya bercerai ketika dia berusia setahun, manakala urusan perceraian diselesaikan di Thailand pada 1998 hakikatnya perkara tersebut hanyalah rekaan bagi menjaga nama baik bekas penyampai radio Era itu. – KOSMO! ONLINE