LENGGONG – Pertemuan pihak Malaysia dengan Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat (AS), Brian Nelson adalah bersifat berterus-terang dalam menyatakan kedudukan masing-masing.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbincangan dibuat dalam pertemuan pada Khamis lalu itu adalah berasaskan maklumat daripada kedua-dua pihak dan Malaysia mengambil maklum apa yang disampaikan oleh AS.
Saifuddin berkata, dalam pertemuan itu beliau menyatakan pendirian Malaysia termasuk hanya mengiktiraf sekatan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan bukan melalui negara tertentu bersifat bersendirian.
“Dia boleh sahaja mengemukakan apa-apa. Menjadi tanggungjawab kita pula untuk memberikan pandangan dan pendirian. Paling penting adalah, ia pertemuan yang berterus-terang berasaskan fakta.
“Kita juga menghargai bahawa negara kita dan AS mempunyai sejarah kerjasama yang cukup panjang melalui hubungan diplomatik, perdagangan, ekonomi dan bahkan dalam beberapa perkara adalah kerjasama keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kampung Beng, di sini, hari ini.
Dilaporkan kehadiran Brian Nelson ke sini bertujuan untuk menghuraikan maklumat AS berhubungan penyaluran dana kepada Iran dan proksi negara itu termasuk Hamas menerusi sistem kewangan Malaysia.
Kata Saifuddin, disamping mendengar maklumat daripada wakil AS itu, beliau berkata Malaysia juga mempunyai kekuatan perisikan tersendiri. – KOSMO! ONLINE