JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang disyaki anggota penyeludup lari lintang-pukang selepas menyedari kehadiran pihak polis ketika menjaga 5,535 karton rokok putih dan kretek di sebuah pondok di Pantai Bio Desaru, Kota Tinggi dekat sini Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kejayaan itu adalah hasil Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin Wilayah Dua yang melakukan intipan sejak dua minggu lalu.
Katanya, hasil maklumat yang diterima, pihaknya melakukan serbuan kira-kira pukul 9 malam.
“Ketika serbuan dilakukan seorang lelaki dipercayai penjaga barang kontraban melarikan diri dan meninggalkan karton rokok di sebuah pondok dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Kembara.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 5,535 karton rokok mengandungi 914,600 batang putih dan kretek tidak berkastam. Anggaran nilai rampasan rokok termasuk cukai ialah RM1.37 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi di sini hari ini.
Kumar berkata, pihaknya turut merampas Perodua Kembara dengan anggaran RM20,000 untuk siasatan lanjut.
Katanya, hasil maklumat diperolehi rokok itu disyaki diseludup dari negara jiran melalui laluan laut sebelum mendarat di perairan Kota Tinggi untuk pasaran tempatan.
Tambah beliau, kegiatan penyeludupan itu disyaki baru dilakukan penjenayah disyaki kira-kira dua minggu lalu.
“Kesemua rokok seludup dan kenderaan yang dirampas dan dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua untuk siasatan lanjut,”katanya.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.-KOSMO! ONLINE