KANGAR – Aktiviti ekonomi domestik negara terus progresif apabila prestasi nilai jualan borong dan runcit pada Mac lalu meningkat 5.2 peratus dengan mencatatkan nilai RM145.7 bilion berbanding bulan sama, tahun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, data terkini dikeluarkan Jabatan Perangkaan mengenai prestasi perdagangan borong dan runcit itu memberi petunjuk yang cukup positif.
“Prestasi nilai jualan borong dan runcit meningkat 5.2 peratus berbanding Mac tahun lalu dengan nilai jualan kedua-dua sektor itu bagi Mac tahun ini sahaja mencapai angka RM145.7 bilion.
“Bagi nilai perdagangan runcit pula, ia mencatatkan peningkatan 7.1 peratus secara ‘year on year basis’ dengan nilai jualan berjumlah RM62.8 billion,” katanya ketika berucap pada perasmian Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2024 di Kangar Jaya, di sini malam tadi.
Kata beliau, peningkatan tersebut memberi petanda bahawa ekosistem ekonomi domestik negara berada dalam keadaan segar dan progresif.
Armizan turut menekankan bahawa segala tindakan, pemantauan dan penguatkuasaan KPDN berada di landasan yang betul.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa KPDN selaku sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara juga akan terus memberi perhatian terhadap pelbagai usaha bagi meningkatkan pendapatan rakyat sekali gus menurunkan kos sara hidup masyarakat di negara ini. – KOSMO! ONLINE