ISKANDAR PUTERI – Kementerian Pertahanan (Mindef) menyerahkan isu penyelarasan pencen pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpencen sebelum 2013 kepada Mahkamah Rayuan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu penyelarasan pencen itu bukan sahaja membabitkan pesara ATM, tetapi juga bekas hakim dan bekas kakitangan awam kerajaan.
Menurut beliau, ketiga-tiga golongan berkenaan telah mengemukakan saman secara berasingan terhadap Kerajaan Malaysia membabitkan perkara sama.
“Ini soal dasar, apabila melibatkan gaji dan pencen kita tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Perbicaraan di Mahkamah Rayuan berhubung isu ini akan bermula Januari tahun depan, jadi kita lihat keputusan mahkamah.
“Kita tidak mahu penyelarasan pencen bagi bekas hakim lain, tentera lain dan kakitangan kerajaan lain, itu adalah benda yang tidak sihat. Undang-undang taksiran mahkamah pun tidak akan berbeza sebab melibatkan kes sama,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Tinggi turut memberitahu, saman yang dikemukakan pesara ATM dalam kes tersebut adalah terhadap Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera.
“Saman bukan hanya kepada saya seorang, dan apabila ia melibatkan tindakan mahkamah, ia akan dilaksanakan Pejabat Peguam Negara dan dimuktamadkan di mahkamah, bukan di peringkat kementerian,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan seramai 50 pesara ATM antaranya yang berpangkat mejar, leftenan, staf sarjan dan prebet telah memfailkan saman itu pada 17 November 2022 lalu dengan menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan.
Antara permintaan mereka adalah agar pencen pesara ATM sebelum 2013 diselaras mengikut kadar pencen pesara ATM selepas 1 Jan 2013 dan seterusnya. – KOSMO! ONLINE