fbpx

Juri arah ExxonMobil bayar RM3.43 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail menunjukkan sebuah stesen minyak ExxonMobil di Houston, Texas. - Foto AFP

WASHINGTON – Panel juri sebuah mahkamah di negeri Pennsylvania memerintahkan ExxonMobil membayar pampasan AS$725.5 juta (RM3.43 bilion) kepada seorang bekas mekanik yang mendakwa bahawa bahan kimia toksik dalam petrol dan pelarut keluaran syarikat berkenaan menjadi punca dia mendapat penyakit kanser, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Menurut peguam mekanik berkenaan, Patrick Wigle,  keputusan itu dicapai pada Khamis lalu dengan 10 juri menyokong, manakala dua lagi menentangnya.

Perbicaraan kes itu diadakan di sebuah mahkamah negeri di Philadelphia.

Bekas mekanik berkenaan, Paul Gill berkata, dia terdedah kepada benzena dalam produk ExxonMobil semasa bekerja di sebuah stesen minyak antara tahun 1975 hingga 1980.

Susulan perbicaraan yang berlangsung lebih seminggu, panel juri mendapati ExxonMobil bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Mereka berkata, syarikat berkenaan didapati lalai untuk memberi amaran tentang risiko kesihatan benzena selepas Agensi Perlindungan Alam Sekitar mengklasifikasikannya sebagai bahan karsinogen yang boleh meningkatkan risiko kanser.

“Keseluruhan keputusan ini adalah sebagai pampasan dan ganti rugi,” kata  Wigle.

Sementara itu, seorang jurucakap ExxonMobil berkata, keputusan kes itu adalah tidak rasional dan pihaknya akan meminta mahkamah untuk membatalkannya. Beliau juga merancang untuk memfailkan rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Bekas mekanik berusia 67 tahun itu memfailkan tuntutan mahkamah pada 2020 selepas disahkan menghidap leukemia mieloid akut iaitu sejenis kanser darah pada 2019.

“Keputusan ini penting kerana ia adalah penemuan bahawa petrol mereka boleh menyebabkan kanser,” kata  Wigle dalam satu kenyataan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI