LONDON – Status juara Liga Kejuaraan musim lalu gagal membantu Burnley untuk kekal dalam aksi Liga Perdana Inggeris musim depan selepas sah kembali ke saingan divisyen kedua England itu ekoran kekalahan 1-2 berdepan Tottenham Hotspur kelmarin.
Turun menentang Spurs di tempat lawan menyaksikan skuad kendalian Vincent Kompany itu memerlukan kemenangan untuk terus menghidupkan peluang sehingga aksi terakhir musim ini.
The Clarets yang berada di kedudukan kedua tercorot berjaya meningkatkan keyakinan tersebut apabila membuka tirai jaringan menerusi Jacob Bruun Larsen pada minit ke-25, namun mereka gagal mengekalkan konsisten apabila gawang mereka ditembusi dua kali.
Spurs berjaya meraih gol penyamaan menerusi Pedro Porro kira-kira tujuh minit selepas jaringan pembukaan tersebut dan seorang lagi pemain pertahanan, Micky Van De Ven meledak gol kemenangan tuan rumah pada lewat permainan untuk meleburkan impian Burnley.
Kekalahan itu menyaksikan Burnley ketinggalan lima mata di belakang pasukan di kedudukan selamat terakhir, Nottingham Forest berbaki satu perlawanan menyebabkan mereka terpaksa mengikut jejak Sheffield United yang terlebih dahulu tersingkir.
“Hari ini, perjuangan kami di Liga Perdana Inggeris berakhir, tetapi esok kami akan kembali memulakan tugas untuk kembali ke sini lagi.
“Aksi kali ini sekali lagi mengecewakan kami. Pasukan mencipta peluang, namun sentuhan terakhir gagal memberikan hasil yang diinginkan. Kami akan belajar dan terus menimba pengalaman untuk mendapatkan apa yang kami inginkan,” jelasnya. – AGENSI