ISKANDAR PUTERI – Dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bandar Tenggara, Kluang dan di Pengerang Kecil, Kota Tinggi melibatkan 700 unit rumah dijangka siap pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, dua PPR tersebut yang mencapai kemajuan 97 dan 99 peratus dijangka memperoleh sijil penyiapan dan pematuhan (CCC), September ini.
Katanya, bagi PPR Sembrong, Kluang yang melibatkan 400 unit rumah kini berada di tahap kemajuan 35 peratus dan dijangka siap Disember 2025.
“Sementara itu, bagi PPR Masai, Johor Bahru yang mempunyai 330 unit rumah berdepan kekangan setelah kontraktor asal telah ditamatkan kontrak.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini dalam proses melantik kontraktor penyelamat,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE