PETALING JAYA – Pelakon juga pengacara Shera Ayob naik hantu apabila nama dan gambar digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan memperdaya mangsa menerusi sebuah akaun palsu mempromosikan produk kesihatan dalam Facebook.
Nur Shahira Ayob, 38, meminta agar individu terbabit menghentikan aktiviti menyalahgunakan maklumat peribadi semata-mata untuk menjana keuntungan.
Malah dia juga berasa terkejut apabila ramai bertanyakan tentang tahap kesihatannya yang dikatakan menghidap ulser usus.
“Dah makin pula yang bagi tahu benda ini. Jadi saya kena share dekat sini supaya tidak salah faham atau terpedaya nanti. Tidak kelakar benda ini. Macam mana ada manusia yang boleh gigih buat akaun guna nama dan gambar orang lain semata untuk jual produk.
“Mencari rezeki dengan cara begini tenang ke? Kemudian siap panjang lebar cerita dongeng dia. Mengambil kesempatan atas kesakitan orang lain. Bila pula aku kena ulser perut.
“Kemudian ayatnya mengatakan sibuk mencari duit sehingga tidak mempedulikan kesihatan,” katanya menerusi satu perkongsian di Instagram.
Pada masa sama, isteri kepada pelakon Zahiril Adzim itu meminta agar pengguna media sosial dapat membuat aduan bagi melaporkan akaun palsu tersebut.
“Tolong report akaun ini. Dia guna nama dan gambar yang sama dengan akaun sebenar saya, Jadi semua jangan salah report,” katanya.
Dalam kenyataan akaun palsu yang tersiar, Shera dikatakan menghidap ulser usus sejak beberapa tahun lalu dan dikatakan kesihatannya semakin pulih setelah mengamalkan produk berkenaan.
Akaun tersebut turut menyalahgunakan beberapa gambar Shera termasuk perkongsian ketika dia dimasukkan ke hospital pada Mac lalu bagi mendapat rawatan dan pembedahan membuang ketumbuhan sebesar lapan sentimeter. – KOSMO ONLINE