fbpx

Bau bahan kimia menusuk hidung, Sungai Selangkah dicemari lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK mendakwa menghidu bau seolah bahan kimia menusuk hidung dipercayai berpunca dari Sungai Selangkah, Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kira-kira 100 penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Selangkah di Jalan Seluang, Taman Tanjung Puteri Resort di sini semakin bimbang dengan masalah pencemaran bau yang berulang kebelakangan ini.

Seorang penduduk, Mohd Shah Md Ali Hanafiah, 41, berkata, penduduk yang menghuni di kira-kira 30 kediaman terletak pada jarak 100 meter daripada sungai berkenaan semakin bimbang dengan situasi berkenaan.

Menurutnya, permasalahan berkenaan bukan baharu namun ia semakin serius dan dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan ramai terutama warga emas dan kanak-kanak.

Katanya, kejadian berulang sejak pukul 7 pagi hari ini yang mana bau umpama kimia semakin kuat sehingga menusuk hidung walaupun pintu dan tingkat rumah ditutup.

“Saya sudah tinggal di kawasan ini sejak 13 tahun lalu dan macam-macam bau boleh dihidu termasuk bau seperti sabun, cat dan bau pekat umpama kimia.

“Bagi mengelakkan bau kuat, kami terpaksa menutup pintu dan tingkap hingga ia menjejaskan keselesaan ahli keluarga.

“Saya sudah merujuk pengaduan berkenaan kepada wakil rakyat dan agensi berkaitan supaya siasatan dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, seorang penduduk, Mastura Sameon, 45, berkata air sungai berkenaan juga didapati berubah dan lebih keruh apabila berlaku pencemaran bau.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada pihak yang mencemari sungai itu.

“Sebagai penduduk kami menjadi mangsa dan kami juga bimbang dengan eko sistem berkenaan akan terjejas. Sepatutnya sungai di sekitar perumahan dipelihara dan dipulihara sebaliknya bukan dicemar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan di lokasi aduan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI