PETALING JAYA – Para jemaah haji yang terkandas di Mekah akibat terpedaya dengan pakej haji visa pelancong perlu membuat aduan atau laporan rasmi kepada Tabung Haji (TH) dan Kedutaan Malaysia di Jeddah, Arab Saudi dengan kadar segara.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, para jemaah yang terlibat perlu membuat aduan atau laporan rasmi ke TH dan Kedutaan Malaysia di Jeddah dengan kadar segara bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
“TH akan berkerjasama dengan pihak Kedutaan Malaysia di Arab Saudi untuk membuat siasatan sewajarnya berdasarkan maklumat terperinci daripada para jemaah haji yang terkandas akibat terperdaya dengan tawaran pakej haji.
“Pihak kami menasihati semua jemaah umrah yang masih berada di Tanah Suci untuk akur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi kerana ibadah umrah akan ditutup pada 15 Mei 2024 bagi persedian musim haji,” katanya melalui satu kenyataan.
Tambahnya, peraturan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan TH adalah untuk menjaga kebajikan dan keselamatan para jemaah haji ketika musim Haji.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, TH telah diarah untuk menyiasat insiden 300 bakal jemaah terkandas di Makkah akibat terpedaya dengan pakej haji murah yang ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.
Justeru itu, beliau menasihati semua mangsa supaya menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi untuk mendapatkan bantuan khidmat nasihat.
“Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui TH sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam di negara ini supaya lebih berhati-hati dengan sebarang pakej murah yang ditawarkan oleh segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH,” menurutnya. – KOSMO! ONLINE.