PETALING JAYA – Penyanyi Yuna menegaskan dia hanya akan bekerjasama dengan pereka fesyen yang menunjukkan solidariti terhadap Palestin.
Menurut Yuna atau nama penuhnya Yunalis Mat Zarai, 37, pendekatan itu diambil bagi menunjukkan pendiriannya yang tidak menyokong kekejam zionis.
“Seperti ramai tahu, saya telah memutuskan hanya melakukan penggambaran fesyen dengan memakai busana pereka tempatan atau mana-mana individu yang bercakap mengenai Palestin ketika ini,” katanya dalam Instagram.
Perkara itu diluahkan ketika fesyen yang digayakannya untuk sebuah majalah menjadi buah mulut ramai beberapa hari lalu.
Semua disebabkan gaya turban yang digayakannya mempunyai juraian bulu namun mencetuskan salah faham dalam kalangan netizen sehingga mendakwa dia ‘menayang’ rambut.
Menjengah ke ruangan komen rata-rata netizen menyokong pendirian Yuna yang menolak bekerjasama dengan pereka fesyen menyokong zionis.
“Salah seorang artis Malaysia yang berani bercakap tentang Palestin.
“Terima kasih kerana lantang bersuara. Teruskan sebar kesedaran,” komen netizen. – KOSMO! ONLINE