fbpx

Waris mangsa pokok tumbang terima faedah Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Pahidah (kanan) bersama anaknya menunjukkan gambar bersama arwah suaminya yang maut dalam kejadian dihempap pokok selasa lalu di kediamannya di Seksyen 24, Shah Alam. -Foto SADDAM YUSOFF

PETALING JAYA – Waris keluarga kepada mangsa korban insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur baru-baru menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, hasil semakan oleh Skuad Perkeso Prihatin mengesahkan bahawa Md Rizal Atan, 47, yang disahkan meninggal dunia sewaktu insiden berkenaan merupakan pencarum bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak 1 Januari 1995.

“Sebagai pencarum Perkeso, waris keluarganya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 secara sekali bayar dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang dianggarkan berjumlah RM3,400 oleh Perkeso selepas mangsa layak menerima faedah menerusi Skim Bencana Pekerjaan bawah Akta 4.

“Norpahidah Mat Zaman, balu kepada Allahyarham Md Rizal bakal menerima FOT untuk sepanjang hayat, manakala empat anaknya yang masing-masing berumur antara 3 hingga 18 tahun diberikan manfaat sama sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama,” katanya.

Terdahulu, Md Rizal bekerja sebagai pemandu di Tele Dynamics Global Com Sdn. Bhd sejak 2018 meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke sebuah hotel untuk menjemput tetamu syarikat majikannya akibat terlibat dalam insiden pokok tumbang.

Steven Sim memberitahu, kesedaran majikan dalam melunaskan tanggungjawab untuk mencarum pekerjanya telah meringankan beban keluarga pekerjanya melalui episod hitam ini menerusi perlindungan jaringan keselamatan sosial pemberian Perkeso menerusi sokongan kewangan.

Dalam ziarah prihatin itu juga Steven Sim menyampaikan sumbangan wakallah dan kotak prihatin Perkeso kepada waris keluarga dalam program Ziarah Prihatin ke kediaman waris di Shah Alam.

Turut hadir pada ziarah prihatin ini Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh; Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Perkeso, Edmund Cheong Peck Huang, serta Pengarah Perkeso Negeri Selangor, Ismail Abi Hashim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI