PONTIAN – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi membina semula jeti masuk ke Taman Negara Johor Pulau Kukup (TNJPK) disini, yang tidak selamat untuk digunakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, kerja-kerja penawaran tender kini sedang dilakukan melalui Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ).
Katanya, kerajaan negeri berharap pembinaan jeti tersebut dapat disiapkan sebelum Tahun Melawat Johor 2026 bagi membolehkan kemudahan tersebut digunakan kepada pelawat yang datang.
Menurut beliau, sebagai salah satu ikon terpenting pelancongan di daerah Pontian, TNJPK merupakan pulau hutan paya bakau tidak berpenghuni terbesar di dunia dan dikunjungi ramai pencinta alam sekitar.
“Bagi membolehkan TNJPK terus dibuka kepada pelawat, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM600,000 ribu untuk membina sebuah jeti sementara berhampiran jeti sedia ada.
“Pada peringkat permulaan ini hanya 100 orang pelawat dibenarkan melawat pulau tersebut dengan anggaran pengunjung kira-kira 3,000 orang ribu sebulan,” ujarnya.
Tambahnya, tiket-tiket boleh didapati di Pejabat Taman Negeri Johor di Kukup Laut serta melalui dalam talian yang sediakan bagi kemudahan orang ramai untuk membelinya nanti. – KOMSMO! ONLINE