MADINAH – Ilmu berkaitan sejarah nabi yang dipelajari sepanjang menuntut di Universiti Islam Madinah di sini menjadi kelebihan buat pelajar Malaysia yang bertugas sebagai muzawwir kepada para jemaah haji.
Kelebihan itu memberi nilai tambah kepada kesemua 88 penuntut universiti berkenaan dalam memberi penerangan kepada jemaah haji Malaysia saat berkunjung ke tempat-tempat bersejarah di Madinah.
Pengarah Program Ziarah Luar 2024, Nik Muhammad Muaz Nik Mohd Noor berkata, dia dilantik sebagai muzawwir bertanggungjawab untuk membantu pelaksanaan aktiviti ziarah luar jemaah haji Malaysia yang telah disusun Lembaga Tabung Haji.
“Kami pelajar di sini apabila belajar sirah nabi akan turut melawat tempat-tempat yang terkandung dalam kitab tersebut.
“Jadi ini secara tidak langsung membantu untuk penerangan kepada jemaah haji dari negara kita,” katanya yang merupakan pelajar tahun dua Universiti Islam Madinah.
Tambah Nik Muhammad, pada tahun ini seramai 88 pelajar di universiti itu dipilih menjadi muzawwir melibatkan 60 peratus pelajar lama dan selebihnya pelajar baharu.
Menurutnya, semua pelajar terbabit melalui beberapa tapisan termasuk kelayakan dari segi Purata Nilai Gred Kumulatif dan kemahiran berkomunikasi.
“Ada juga dalam kalangan yang dipilih ini berpengalaman menjadi mutawif umrah dan haji,” jelasnya.
Tambahnya, dalam mempersiapkan dan memantapkan lagi muzawwir yang terpilih, pihak jawatankuasa juga mengadakan kursus sebanyak dua kali termasuk lawatan di lapangan dengan dikendalikan pelajar senior. – KOSMO! ONLINE