PUTRAJAYA – Seorang individu mengalami kerugian kira-kira RM40,000 selepas diperdaya oleh sebuah agensi pelancongan menawarkan pakej haji menggunakan visa pelancong.
Menurut hantaran di aplikasi Facebook yang dikongsikan oleh Zhyema Zhyedee, perkara tersebut dialami oleh rakannya yang kini terkandas di Mekah ekoran ditipu oleh sebuah agensi pelancongan.
Katanya, rakannya itu dijanjikan oleh agensi terbabit untuk diberikan gelang haji namun pihak berkenaan sehingga kini gagal berbuat demikian.
“Saya nak bertanya bagi pihak kawan saya yang sekarang berada Mekah menggunakan visa pelancong untuk mengerjakan haji.
“Dia pergi dibawah agensi pelancongan dijanjikan akan diberikan gelang tetapi sehingga sekarang agensi pelancongan bagi arahan jangan sebarangan keluar dari hotel.
“Jadi dia (kawan saya) syak memang tak akan dapat gelang tu. Sekarang, kemana dia boleh melaporkan sindiket ini dan apa perlu dia buat? Mohon pandangan dari haji dan hajjah sekalian,” katanya menerusi hantaran di Forum Umrah DIY.
Pada hantaran itu juga, rata-rata pengguna media sosial yang bersimpati atas kejadian menimpa rakannya itu menasihati agar individu berkenaan melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa dan terus pulang ke Malaysia.
“Sampai Malaysia laporan ke pihak berkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pelancongan, polis dan Tabung Haji. Kena anggap ini sebagai dugaan jangan teruskan rancangan menipu…kalau tak tertangkap kira menipu pihak berkuasa,” kata Abdul Haris.
“Sebelum diambil tindakan, lebih baik dapatkan nasihat dari Tabung Haji, beli tiket balik Malaysia masih sempat lagi,” ujar Maziah Yusof.
“Visa pelancong tak bole digunakan untuk haji. Di tangkap mungkin didenda…salah tu,” kata Kalili Ahmad.
Hantaran sejak semalam itu mendapat 283 komen dengan 52 perkongsian sehingga kini.
Terdahulu, Kementerian Haji dan Umrah mengumumkan 15 Mei ini adalah hari terakhir bagi tamat tempoh visa umrah untuk jemaah yang datang dari luar Arab Saudi.
Kementerian itu berkata, tarikh tamat tempoh visa yang diawalkan dari 29 ke 15 Zukaedah itu bertujuan bagi melancarkan perjalanan jemaah haji dari seluruh dunia ke kota suci Mekah dan Madinah untuk ibadah haji tahunan. – KOSMO! ONLINE