HULU SELANGOR – “Kepada orang muda, fikirlah sebaik-baiknya sebelum mengundi, kerana ini merupakan masa depan kita bersama”.
Begitulah pesan seorang warga emas, Rosli Sarif, 75, yang juga merupakan pengundi pertama yang membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali kepada warga belia.
Menurut beliau yang sudah hampir 10 kali turun mengundi, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang diadakan hari ini merupakan hari penting buat seluruh penduduk setempat.
Beliau berkata, keadaan ekonomi yang tidak menentu juga merupakan antara asbab yang mewajibkan orang ramai daripada setiap lapisan usia agar turun mengundi dan menjalankan tanggungjawab masing-masing.
“Makin lama makin teruk keadaan kita, keadaan (ekonomi) pun tidak berapa stabil lagi. Dulu semuanya mudah, sekarang hendak dapat rawatan pun susah.
“Sebab itulah, turun mengundi penting untuk bangsa dan tanah air kita,” katanya ketika ditemui di pekarangan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, di sini hari ini.
Menurut Rosli, dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak kerana mempunyai masalah kesihatan sejak tujuh tahun lalu.
Malah, dia sanggup datang ke tempat mengundi awal pagi dengan menaiki kerusi roda agar tidak perlu berhadapan dengan sebarang kesesakan pada waktu mengundi.
“Pak cik hampir kena strok. Dulu, pak cik hampir tidak boleh berjalan langsung. Syukur sekarang pak cik boleh berjalan sikit-sikit.
“Kali ini, saya terpaksa datang seorang diri kerana isteri sedang dirawat di hospital. Rumah saya pun tidak jauh, hanya sekitar setengah kilometer dari sini,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, mendiang Lee Kee Hiong 21 Mac lalu.
Menurut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pilihan raya kecil kali ini melibatkan 39,269 pengundi berdaftar.
Kesemua 18 pusat mengundi yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran, akan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi, ditutup 2 petang. - KOSMO! ONLINE