HULU SELANGOR – Kurang seminit sebelum pusat pengundian ditutup, seorang pengundi terakhir tidak mensia-siakan peluangnya untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Maryam Yusof, 33, berkata, kehadirannya lewat akibat hujan lebat dan kesesakan lalu lintas ketika dalam perjalanan dari Palong, Negeri Sembilan.
“Selepas itu, saya singgah Kajang sebab nak (datang) sekali dengan abang. Abang habis syif (kerja) pukul 2 petang. Selepas itu, kami sangkut hujan lebat dan kesakan.
“Itu yang jadi terakhir, cuba jugalah nak sampai sebab tanggungjawab. Ayah pun dah ‘call’ (hubungi) dah sampai ke belum. Tulah, berlari tadi, anak pun lari,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Baharu di sini, tadi.
Untuk rekod, kesemua 18 pusat mengundi dengan 74 saluran ditutup pukul 6 petang tadi membabitkan 39,269 pemilih berdaftar.
Bagaimanapun, pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi ditutup pukul 2 petang.
Proses pengiraan undi selepas ini akan berlangsung di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan keluar mengundi mencatatkan sebanyak 55.79 peratus daripada 39,269 pengundi berdaftar, setakat pukul 4 petang.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, calon Perikatan Harapan (PN), Khairul Azhari Saut, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, mendiang Lee Kee Hiong 21 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE