PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah susulan kemenangan tidak rasmi calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Ucapan itu dizahirkan oleh Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Sambutan 25 Tahun Keadilan di Depot Sentul, Kuala Lumpur sebentar tadi.
“Tahniah dan saya hargai kerjasama, Saudara Anthony Loke dan tahniah atas kemenangan di Kuala Kubu Baharu,” katanya.
Keputusan tidak rasmi sebentar tadi menyaksikan calon Sock Tao memenangi PRK DUN Kuala Kubu Baharu.
Setakat pukul 8.15 malam tadi, Sock Tao meraih jumlah minimum undi sebanyak 13,765 bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi gabugan itu pada Pilihan Raya Negeri, Ogos tahu lalu.
Sementara tiga lagi pencabarnya, calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut mendapat 9,837 undi, calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainudin (149 undi) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin (183 undi).
Jumlah undi yang dikira setakat ini adalah sebanyak 23,934 atau 60 peratus daripada keseluruhan 40,413 pengundi berdaftar.
Untuk rekod, PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya mewakili PH daripada DAP, mendiang Lee Kee Hiong 21 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE