fbpx

PM adakan lawatan rasmi tiga hari ke Qatar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Qatar selama tiga hari bermula esok atas jemputan Yang Mulia Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani, Amir Qatar.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, pada lawatan rasmi itu Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Jelasnya kenyataan itu, lawatan sulung Perdana Menteri ke Qatar adalah bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Qatar.

“Selain diberikan sambutan rasmi oleh Amir Qatar, Perdana Menteri juga akan mengadakan kunjungan menghadap ke atas Yang Mulia Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani.

“Lawatan ini juga akan melibatkan pertemuan dua hala di antara Perdana Menteri dengan Tuan Yang Terutama Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani, Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Qatar,” katanya tadi.

Wisma Putra turut memaklumkan, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan dua hala terutamanya mengenai kerjasama ekonomi dan pendidikan serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk konflik Palestin-Israel.

“Semasa di Doha, Perdana Menteri akan menyertai Forum Ekonomi Qatar 2024 dan bertemu dengan kapten-kapten industri serta para pelabur dari Qatar sebagai usaha menarik pelaburan bagi inisiatif Ekonomi Madani. Beliau juga akan menghadiri pertemuan dengan diaspora Malaysia di Doha.

“Lawatan rasmi ini dijangka mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dalam pelbagai aspek di antara Malaysia dan Qatar,” ujarnya.

Berdasarkan statistik, sejak Januari hingga Mac lepas, jumlah perdagangan Malaysia dengan Qatar meningkat 178.4 peratus kepada RM1.43 bilion (USD303.9 juta) berbanding RM514.9 juta (USD116.7 juta) untuk tempoh yang sama pada tahun lepas.

Pada tahun lepas, Qatar merupakan rakan dagangan kelima terbesar Malaysia, destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import keenam terbesar dari rantau Asia Barat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI