ALOR GAJAH – Tiga pelajar sekolah mengalami kecederaan patah tangan dan kaki selepas motosikal ditunggang merempuh lori di simpang Taman Melor, Kuala Sungai Baru di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, dua mangsa yang juga adik-beradik berusia 10 dan 14 tahun mengalami patah kaki, luka di kepala dan patah tangan, manakala rakan mereka berusia 13 tahun patah tangan serta kaki.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian, kesemua mangsa menaiki motosikal Yamaha 135LC dalam perjalanan dari Kuala Sungai Baru ke Taman Desa Bayu untuk ke rumah rakan mereka.
Setibanya di lokasi motosikal ditunggang mangsa berusia 14 tahun itu merempuh tayar belakang lori yang keluar dari simpang.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang dan dua lagi mangsa yang membonceng cedera. Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Alor Gajah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Siasatan mendapati remaja yang menunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu, manakala motosikal digunakan insurans tamat tempoh.
“Setakat ini tiada saksi di lokasi yang tampil membantu siasatan, namun terdapat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
Terdahulu, video kemalangan yang memaparkan kesemua pelajar cedera tular. Mereka kemudian dibantu orang awam di lokasi. – KOSMO! ONLINE