KUANTAN – Kerajaan Pahang memperuntukkan keseluruhan kos bernilai RM2.734 juta selaku tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M (MTHQK 2024) yang akan diadakan di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada 23 Mei hingga 28 Mei nanti.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan terbabit termasuk ‘duit poket’ RM1,000 kepada setiap peserta dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM110,000.
Katanya, kerajaan negeri bermurah hati menghulurkan duit poket berkenaan bagi membantu perbelanjaan peserta sepanjang pertandingan berlangsung.
“Apabila peserta yang datang ke Pahang mereka ada duit poket, duit makan dan sebagainya sebagai tambahan perbelanjaan mereka ketika berada di sini.
“Dan yang paling pentingnya ia adalah sebagai tanda ingatan tulus ikhlas kerajaan negeri untuk kesemua peserta,” katanya dalam sidang media bersempena Majlis Pra Pelancaran MTHQK 2024 yang diadakan di Hotel SwissBel, di sini hari ini.
Wan Rosdy juga memberitahu, selain sumbangan kerajaan negeri, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) turut bermurah hati menyumbang jongkong emas seberat 5 gram kepada semua pemenang tilawah dan hafazan al-Quran dengan setiap jongkong emas terbabit dianggarkan bernilai sekitar RM2,000. – KOSMO! ONLINE