MELAKA – Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak pernah membenarkan mana-mana penyedia aplikasi perkhidmatan pengangkutan e-hailing menggunakan sistem bidaan harga kepada penumpang.
Menterinya, Anthony Look Siew Fook berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah diarahkan untuk menyemak sistem berkenaan yang mula digunakan dalam kalangan pemandu e-hailing pada waktu ini.
“JPJ tidak pernah menyediakan aplikasi perkhidmatan e-hailing dan perkara ini perlu dirujuk kepada APAD untuk lihat perkara ini sebab memang kita tidak dimaklumkan lagi.
“Saya akan minta APAD untuk lihat perkata itu dan setakat ini memang tak ada apa-apa yang kita benarkan lagi,” katanya selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-78, Digitalisasi Memacu Profesionalisme Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini hari ini.
Anthony berkata demikian ketika ditanya apakah tindakan kementerian terhadap kewujudan aplikasi e-hailing menggunakan sistem bidaan yang semakin menjadi pilihan ketika ini.
Melalui aplikasi itu, pemandu e-hailing aplikasi berkenaan boleh meletakkan harga sendiri bagi satu jarak perjalanan sebelum dibida pelanggan sekiranya kadar tambang itu dipersetujui. – KOSMO! ONLINE