PARIS – Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe dilaporkan sedia untuk menerima bayaran gaji yang jauh lebih rendah bagi merealisasikan impiannya menyertai Real Madrid musim depan.
Pemain antarabangsa Perancis itu sah akan meninggalkan PSG selepas membuat pengumuman rasmi bahawa dia tidak akan menyambung kontrak bersama pasukan juara Ligue 1 sebanyak 12 kali itu.
Walaupun dijangka bersetuju dengan bayaran gaji jauh lebih rendah berbanding di PSG, namun Mbappe masih menjadi penerima gaji tertinggi di Real apabila dilaporkan bakal menerima £21.5 juta (RM127.60 juta) setahun.
Bayaran gaji yang bakal dinikmati Mbappe di Real boleh dikatakan tidak setimpal dengan apa yang diterimanya bersama PSG ketika ini apabila dia menerima £5.1 juta (RM30.26 juta) sebulan, sekali gus bersamaan £62 juta (RM367.97 juta) setahun.
Terdahulu, Mbappe menerusi satu rakaman video menjelaskan kempen 2023/24 merupakan musim terakhirnya bersama PSG dengan pertemuan menentang Toulouse awal pagi Isnin nanti akan menjadi penampilan terakhirnya di Stadium Parc des Princes.
“Ini adalah tahun terakhir saya bersama PSG kerana saya tidak akan meneruskan pengembaraan bersama anda semua. Perjalanan saya di sini akan berakhir dalam tempoh beberapa minggu sahaja lagi.
“Selepas tujuh tahun, saya memerlukan cabaran baharu dan saya tidak pernah kesal menyarung jersi pasukan ini. Walaupun tidak bersama pasukan ini lagi tetapi saya akan menonton setiap perlawanan PSG,” katanya. – AGENSI