PUTRAJAYA – Malaysia mengalu-alukan keputusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi untuk Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mempertimbangkan dan menyokong keanggotaan penuh Palestin menyertai badan dunia itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sokongan padu terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, termasuk hak untuk sebuah negara Palestin yang merdeka menandakan komitmen tidak berbelah bahagi masyarakat antarabangsa ke arah keamanan berkekalan di Asia Barat.
Katanya, resolusi itu juga memberikan hak dan keistimewaan tambahan kepada Negara Palestin yang membolehkan mereka mengambil bahagian sepenuhnya dalam sesi dan tugas PBB.
“Malaysia bersama 77 negara anggota, mengundi menyokong resolusi itu sejajar dengan pendirian tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin sekian lama.
“Malaysia akan meneruskan usahanya untuk penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
“Ini termasuk sokongan kemasukan Palestin sebagai anggota penuh PBB,” katanya.
Semalam, PBB meluluskan resolusi itu dengan 143 negara mengundi menyokong, sembilan mengundi menentang dan 25 berkecuali.
UNSC mengundi secara majoriti untuk memberikan Palestin beberapa hak tambahan dalam badan global itu, selepas usaha mereka untuk menjadi ahli penuh disekat oleh Amerika Syarikat (AS).
Draf resolusi itu, yang diperkenalkan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), menyatakan ‘Palestin layak untuk menjadi ahli dalam PBB mengikut Perkara 4 Piagam PBB dan harus diterima masuk sebagai ahli’. – KOSMO! ONLINE