PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mengakui persiapan pasukannya berdepan Perak pada aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malan ini berdepan kerumitan.
Beliau berkata, selain Akhyar Rashid yang terpaksa diketepikan ekoran insiden samun, TFC juga pincang tanpa dua lagi tonggak penting iaitu Ivan Mamut dan Matthew Steenvoorden.
“Steenvoorden yang merupakan bek tengah perlu melupakan hasrat membuat penampilan sulung bersama TFC malam esok (ini) ekoran mengalami pembedahan lutut dan memerlukan berehat selama sebulan.
“Kami juga kehilangan sentuhan Mamut di bahagian serangan gara-gara kecederaan kaki dengan beliau dijangka pulang daripada rawatan di Croatia kira-kira tiga minggu lagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Bagaimanapun, Steinbruckner lega kerana bek kanan, Azam Azmi Murad yang tercedera sewaktu tugasan bersama Harimau Malaya pada Mac lalu sedia diturunkan malam ini.
Dua tonggak pertahanan skuad Harimau Muda, Safwan Mazlan dan Ubaidullah Samsul Fazili juga bersedia untuk turun menentang Perak.
“Saya harap semua pemain yang cergas menunjukkan prestasi terbaik bagi membuktikan mereka layak berada dalam pasukan. Persembahan mereka diharap lebih tersusun berbanding pramusim terakhir bertemu Kelantan Darul Naim (KDN) baru baru ini,” katanya.
Dalam masa sama, Steinbruckner mengakui, kemampuan Perak yang dibimbing Yusri Che Lah tidak boleh dipandang ringan kerana mereka dilihat telah memperkemaskan barisan pemain musim ini.