SELAYANG – Pemain pinjaman, Syafiq Ahmad muncul wira Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila meledak gol tunggal perlawanan ketika menewaskan PDRM FC di Stadium Selayang, sebentar tadi.
Paling mengujakan jaringan itu terhasil ketika aksi baharu saja berusia 33 saat untuk meletakkan nama Syafiq selaku penjaring gol pertama Liga Super musim ini.
PDRM FC dilihat sedikit bergelut untuk mendapatkan rentak dan minit ke-13, pelawat dihimpit kecewa apabila percubaan Sony Norde sekadar singgah di tiang gol.
Seterusnya hujan lebat menyaksikan perlawanan berlangsung perlahan dan babak pertama sekadar berakhir 1-0 berpihak kepada KDA FC
Hujan lebat menyaksikan banyak kawasan padang mula ditakungi air hingga menganggu hantaran yang cuba dilakukan kedua-dua pasukan.
Permukaan padang lecak terus menyukarkan kedua-dua pasukan untuk menyerlahkan potensi sebenar dan KDA FC jelas bernasib baik untuk mengesahkan tiga mata penting pada perlawanan pertama. – KOSMO! ONLINE