fbpx

Kemenangan PH ‘signal’ rakyat bersama Kerajaan Perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin pada sidang akhbar di Pejabat Bahagian UMNO Kuala Kubu Baharu, hari ini. Foto oleh M FIRDAUS M JOHARI

HULU SELANGOR – Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu mengesahkan sokongan rakyat semakin kuat kepada Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia dibuktikan menerusi peratusan undi diterima calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao yang meningkat kira-kira 3 peratus berbanding Pilihan Raya Umum, Ogos tahun lalu.

Katanya, gabungan itu juga berjaya merampas Pusat Daerah Mengundi (PDM) undi awal dan undi pos yang sebelum ini dimenangi pihak lawan.

“PRN yang lepas, kita telah mendapat sekitar 54 peratus undi dan pilihan raya kali ini Sock Tao telah berjaya mengambil 57 peratus undi kali ini.

“Ada tiga peti undi yang sebelum ini kita tewas iaitu PDM Kerling, Sungai Air Jernih dan Pertak. Dua daripadanya iaitu Sungai Air Jernih dan Pertak merupakan kawasan majoriti Melayu dan Bumiputera.

“Kita percaya ini merupakan satu signal dan juga kalau mereka anggap pungutan suara, inilah pungutan suara kepada Kerajaan Perpaduan Selangor dan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Bahagian UMNO Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, meskipun Perikatan Nasional (PN) masih menguasai Batang Kali, namun terdapat penyusutan dalam sokongan apabila undian majoriti menurun daripada 1,700 kepada 1,300 undi.

Justeru, Amirudin berharap agar Sock Tao dapat meneruskan legasi mendiang Lee Kee Hiong dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Kuala Kubu Baharu.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan PH berjaya mengekalkan DUN Kuala Kubu Baharu sempena PRK kali ini.

Menerusi saingan empat penjuru, Sock Tao memperolehi 14,000 undi.

Sementara itu, pencabarnya, calon PN, Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi manakala calon Bebas, Nyau Ke Xin dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainudin masing-masing hanya meraih 188 dan 152 undi.

Pengisytiharan keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Audree Kamaruddin di Pusat Pengiraan Undi SPR di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor malam ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI