MADINAH – Peluang berkhidmat menyantuni jemaah haji pada Musim Haji 1445/2024 merupakan detik terindah buat 16 jururawat termasuk tiga daripadanya lelaki.
Kesemua mereka ditempatkan di Pusat Perubatan Madinah, terletak di Hotel Ar Roha Madinah yang menjadi pusat rawatan jemaah 24 jam dengan kapasiti 33 katil termasuk wad lelaki dan wanita.
Ketua jururawat Nor Ainun Muhammad, 48, berkata, musim haji kali ini merupakan peluang kedua buatnya dengan setiap pesakit terutamanya warga emas telah dianggap seperti keluarganya sendiri.
Katanya, walaupun tidak mempunyai sebarang pertalian dengan mereka, tugasan dan amanah dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Saya ada pengalaman menjaga seorang warga emas yang saya anggap seperti bapa sendiri. Jemaah berkenaan berumur 92 tahun dan dia antara yang paling tua mengalami patah tulang paha, namun tetap bersemangat untuk menunaikan haji.
“Jadi sebagai jururawat sudah menjadi tugas saya menjaganya sebaik menjejakkan kaki ke Mekah. Namun, dia akhirnya meninggal dunia selepas beberapa hari melengkapkan semua rukun haji,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, Nor Ainun berkata, antara momen paling diingati apabila berdepan dengan seorang jemaah haji lelaki yang mengalami masalah ingatan dan tidak ingat sama ada telah melaksanakan ibadat haji.
“Pada masa itu apa yang kami lakukan ialah meletakkan dia di Pusat Rawatan Madinah dan Mekah. Kamilah petugas perubatan dan kamilah keluarga dia pada masa itu, sehingga dia dapat menunaikan haji,” jelasnya.
Tambah Nor Ainun, cabaran menjadi jururawat ketika musim haji berbeza dengan tugasnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) .
“Jika di Malaysia, kes kecemasan ada berbagai-bagai, tetapi di sini kes banyak melibatkan pernafasan disebabkan suhu tinggi dan berdebu.
“Seperti kita tahu, jemaah haji kita pun banyak terdiri daripada orang tua.
“Justeru pesakit dan jemaah mudah mendapat simptom pernafasan seperti batuk sakit tekak dan selesema. Apabila tidak cepat dirawat, maka ia bertambah teruk,” jelasnya.
Dalam pada itu, Muhamad Tormizi Zakaria, 31, menyifatkan peluang kali pertama bertugas di Mekah sebagai pengalaman baharu yang tidak akan dilupakan seumur hidup.
“Apabila dapat sahaja tawaran, saya tidak menyangka dipilih.Jadi ini peluang terbaik saya untuk berkhidmat membantu tetamu Allah S.W.T,” ujarnya