JAKARTA – Seorang isteri menyerah diri kepada polis selepas diburu kerana mencurah asid pada suaminya selepas mengetahui mangsa berkahwin lain di wilayah Sumatera Selatan, lapor portal berita Tribun Jateng semalam.
Ketua polis tempatan, Rama Yudha berkata, kejadian berlaku pada 21 April lalu di rumah mangsa di daerah Muba selepas wanita itu mengakses akaun Facebook suaminya dan mendapati lelaki berkenaan berkahwin lain tanpa pengetahuannya.
Wanita itu tanpa berlengah pergi ke dapur dan mengambil asid dan mencampurkannya dengan cili. Dia kemudian menyiramkan cecair penghakis pada tubuh suaminya ketika mangsa sedang tidur.
“Mangsa menjerit kesakitan kerana terkena asid dari kepala hinggalah ke bahagian perut,” kata Rama.
Setelah melakukan perbuatan itu, wanita berkenaan meninggalkan suaminya di dalam rumah dan melarikan diri sebelum kes tersebut dilaporkan kepada polis.
“Suspek kesal suaminya menikah lagi secara diam-diam. Suspek telah menyerahkan diri dan kini ditahan,” jelas Rama.
Wanita itu boleh dikenakan penjara maksimum 10 tahun jika didapati bersalah. – AGENSI