PETALING JAYA – Penjaga gol utama Manchester United, Andre Onana dan bintang muda, Alejandro Garnacho mendoakan semoga pemain kebangsaan, Faisal Halim segera sembuh selepas menjadi mangsa simbahan asid pada Ahad lepas.
Dipetik menerusi temu bual bersama televisyen swasta, Onana meluahkan rasa simpati dengan kejadian yang menimpa pemain sayap Selangor FC itu.
“Kami mendengar berita mengenai apa yang terjadi, ini adalah masa yang sukar buat kamu dan keluarga.
“Kami merasai (penderitaan) anda dan bersama Garnacho serta rakan-rakan sepasukan yang lain, kami doakan kesejahteraan anda. Teruskan berjuang dan kekal tabah,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman X Stadium Astro pagi tadi.
Sementara itu, Garnacho secara ringkas turut mengharapkan pemain kelahiran Mengkuang Titi berusia 26 tahun itu kuat menghadapi dugaan yang dihadapinya ketika ini.
Sebagai rekod, Faisal telah disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada serangan yang berlaku di Damansara pada Ahad lepas sehingga disahkan melecur tahap empat.
Selepas menjalani tiga pembedahan di hospital swasta di Shah Alam, Faisal yang pada awalnya agak kritikal disahkan semakin ceria dan menunjukkan perkembangan positif. – KOSMO! ONLINE