LAHAD DATU – Seekor buaya jantan sepanjang lebih lima meter ditemukan tersangkut pada pukat nelayan di Kampung Sungai Nipah Tambisan kelmarin.
Pembantu Hidupan Liar Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Sylvester Wong berkata, pihaknya menerima buaya berkenaan daripada Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Desa Kencana.
“Anggota APM bersama penduduk kampung bertindak menangkap dan mengikat buaya terbabit, sebelum dibawa ke Pusat Operasi APM Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kakitangan JHL Lahad Datu yang tiba di Pusat Operasi APM bertindak melonggarkan ikatan buaya berkenaan, namun keadaannya sangat lemah.
“Buaya yang dalam keadaan puntung kaki depan sebelah kiri itu dibawa ke perumahan JHL Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE