PETALING JAYA – Ekoran cuaca panas ketika ini, seorang penternak kuda terpaksa memberikan rawatan memasukkan air ke dalam badan haiwan peliharaannya, selepas ia menunjukkan reaksi mengalami dehidrasi.
Melalui perkongsian video di laman TikTok @aminhazwan, rawatan memasukkan air sebanyak 13 botol yang dilakukan sendiri di kandang kuda itu, merupakan ikhtiar terakhirnya bagi mengelakkan komplikasi kesihatan yang lebih teruk sekiranya haiwan itu diserang dehidrasi.
“Dari kandang biasa, terus modified (ubah suai) jadi klinik, nampak tanda nak dehidrasi dekat Tommy (kuda) sebab cuaca terlalu panas, jadi kita bantu dengan drip air maduk untuk cukupkan air dalam badan yang hilang.
“Dehidrasi kalau tak bantu rawat awal dalam cuaca panas, boleh menyebabkan kuda kena strok haba, rosak buah pinggang, colic dan sebagainya,” tulisnya.
Selain itu, kesihatan kuda hitam yang diberi nama ‘Tommy’ juga dikhabarkan sudah semakin baik selepas diberi rawatan air tambahan itu.
Rata-rata pengguna di ruangan komen turut bersimpati dengan nasib haiwan peliharaan yang turut terjejas akibat daripada musim panas yang dialami negara sekarang.
“Harap yang mana ada haiwan peliharaan pun waspada sama dengan cuaca sekarang, kucing saya pun waktu tengah hari, kami buka pintu sangkar, petang kami panggil masuk balik,” komen Bunga Tulip.
“Kesian dia, walaupun petang ada kawasan hujan tapi nak tunggu petang memang hangat sangat. Suhu 38 tapi rasa macam 47 dah Perlis ni,” kata Sikha Azhis.
“Ayah saya dulu ada kuda beberapa ekor, bila kuda tak sihat je dia punya risau tu lebih dari anak tak sihat. Maklumlah kuda ni sensitif, perut kembung lah, luka lah, beranak lah,” ujar Aimi Shazwani. – KOSMO! ONLINE