fbpx

61 orang terbunuh akibat strok haba di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG wanita menggunakan payung ketika cuaca panas terik di Bangkok, 1 April lalu. -- AFP

BANGKOK – Seramai 61 orang meninggal dunia akibat strok haba di Thailand sepanjang tahun ini, manakala angka tersebut lebih besar berbanding keseluruhan 2023, kata Kementerian Kesihatan semalam.

Gelombang cuaca panas luar biasa melanda Thailand sejak beberapa minggu lalu yang mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran mengenai cuaca panas ekstrem hampir setiap hari.

Kementerian Kesihatan Thailand menyatakan, strok haba telah membunuh 61 orang sejak awal 2024, berbanding 37 individu sepanjang 2023.

“Jumlah kematian tertinggi direkodkan di timur laut Thailand yang juga kawasan pertanian utama,” kata kementerian sama.

Saintis-saintis sudah lama memberi amaran tentang perubahan iklim global yang berpunca daripada aktiviti manusia. Mereka berkata, fenomena iklim dunia akan menghasilkan gelombang haba yang lebih ke­rap, lebih lama dan lebih terik.

Walaupun fenomena cuaca El Nino memacu cuaca panas luar biasa pada tahun ini, Benua Asia mengalami pemanasan lebih cepat berbanding purata global, demikian menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia.

Timbalan Ketua Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Apichart Vachhiraphan memberi amaran kepada orang ramai yang mempunyai masalah kesihatan supaya mengehadkan masa di luar rumah.

Menurut kerajaan pula, Thailand mengalami kelewatan musim tengkujuh pada tahun ini yang menyaksikan cuaca panas terik bertahan lebih lama daripada biasa.

Bagaimanapun, ribut mula melanda beberapa kawasan di negara itu pada minggu ini, manakala pihak berkuasa mengeluarkan amaran tentang kemungkinan banjir kilat.

Pada April lalu, wilayah Lampang merekodkan bacaan suhu 44.2 darjah Celsius iaitu kedua paling panas di Thailand. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI