KUALA PILAH – Seorang wanita yang sebelum ini dilaporkan lari dari rumah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan aktiviti persundalan.
Tertuduh berusia 20 tahun membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati mencari pelanggan bagi maksud persundalan di sebuah bilik hotel di Gemas pada pukul 2.30 petang 3 Mei lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi.
Sementara itu, tertuduh meminta untuk diberikan hukuman penjara minimum dan memaklumkan tidak mempunyai wang untuk membayar jaminan disebabkan ibu bapanya merupakan orang susah.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, manakala kes ditetapkan semula 13 Jun ini bagi laporan sosial. – KOSMO! ONLINE