KUALA TERENGGANU – Sebahagian besar kawasan di Terengganu yang kekeringan ekoran cuaca panas sejak hampir sebulan lalu kembali menerima hujan mulai awal pagi tadi.
Sebelum ini kesemua lapan daerah di negeri tersebut tidak menerima taburan hujan antara 12 hingga 29 hari berikutan perubahan monsun.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Terengganu, Rosli Zakaria berkata, cuaca lembap dengan hujan sekali-sekala itu diramal berterusan di negeri ini sehingga lusa.
“Hujan yang kembali turun berkenaan membolehkan purata suhu harian kebanyakan tempat di Terengganu akan berada di bawah 36 darjah Celcius sehingga Ahad ini.
“Sebagai perbandingan, purata suhu harian di negeri ini sebelum ini adalah 37 darjah Celcius,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Rosli berkata, cuaca pada Isnin hingga Khamis minggu depan di Terengganu pula diramal mendung terutama di pedalaman Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, sebelum ini, Gong Kedak, Besut tidak menerima hujan sejak 29 hari lalu.
“Hujan tidak turun di daerah Kuala Terengganu sejak 20 hari lalu, Institut Pertanian Besut (17 hari) dan Felda Chalok, Setiu (12 hari),” katanya. – KOSMO! ONLINE
@syamimialia_Alhamdulillah dan terima kasih Ya Allah, turunkan hujan di bumi Terengganu. Sebagaimana air hujan laju turun ke bumi, begitu juga air mata ini laju turun ke pipi tanda kegembiraan 🥹🤲🏻 Btw, start semalam dah hujan, alhamdulillah harini Allah bagi hujan lagi. اللهم صيباً نافعا