SEPANG- “Jangan ambil aku dulu Ya Allah, izinkan tunai rukun Islam kelima dahulu,” itu antara doa dipanjatkan pelakon air mata, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 70, sebelum berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan haji hari ini.
Wan Maimunah merupakan salah seorang daripada 353 jemaah haji KT4 yang berlepas ke Madinah kira-kira pukul 6.30 pagi tadi menerusi penerbangan Saudi Airlines sebelum dijangka mendarat pada pukul 10.25 pagi waktu tempatan.
Menurut Wan Maimunah, beliau tidak dapat menahan perasaan sebak apabila menerima tawaran menunaikan haji tahun ini selain menitiskan air mata apabila mengenangkan rezeki berkenaan.
“Bila ibu dapat tawaran itu, ibu meraung, Alhamdulillah, aku punya permintaan dimakbulkan Allah sama ada ia ditangguhkan atau ibu diundang menjadi tetamu Nya.
“Ya Allah, sebelum jasad aku ditiupkan roh masuk, memang sudah ada tarikh bila ia akan diambil, tapi semua atas kehendak Mu.
“Janganlah ambil aku dahulu, izinkan aku menunaikan rukun Islam kelima , sempurnakanlah aku untuj menunaikannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Haji di MovenPick di sini awal pagi tadi.
Mengulas lanjut, Wan Maimunah yang mesra disapa ibu juga tidak menyangka akan mendapat hadiah istimewa sempena Hari Ibu apabila akan mendarat di Tanah Suci sebagai tetamu Allah.
“Allahuakhbar, ibu tidak ingat Hari Ibu, yang ibu ingat hari ini hari Khamis malam Jumaat, awal pagi, insya-Allah ibu akan sampai jika diizinkan Allah.
“Terima kasih Ya Allah, pada tahun ini, aku benar-benar dapat hadiah daripada-Mu, Alhamdulillah,” luahnya dalam nada sebak.
Terdahulu, seramai 353 jemaah haji KT4 selamat berlepas ke Madinah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.
Tahun ini, seramai 31,600 orang bakal jemaah haji dari Malaysia akan menunaikan ibadah rukun Islam yang kelima pada musim kali ini dengan wukuf di Arafah dijangka pada 15 Jun depan. – KOSMO! ONLINE