KUALA LUMPUR – Helah tiga lelaki warga Filipina menggunakan MyKad palsu dan pengenalan diri orang lain untuk mendapatkan pekerjaan terbongkar dalam serbuan di kediaman mereka di sekitar Pulau Indah, Klang, awal pagi tadi.
Bahagian Penguat kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, hasil soal siasat suspek berkenaan mengakui membeli MyKad terbabit daripada ejen dengan harga RM500.
Menurutnya, ada juga suspek yang mendakwa meminjam kad pengenalan berkenaan daripada kenalan lain bagi tujuan mencari kerja secara haram di Malaysia.
“Ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 19 ke 50 tahun merupakan warga Filipina didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Mereka dipercayai menggunakan MyKad palsu, dan pengenalan diri orang lain bagi mendapatkan pekerjaan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek sudah memiliki MyKad palsu dan milik individu lain itu antara dua minggu hingga enam bulan.
Katanya, serbuan dijalankan sekitar pukul 1 pagi itu susulan risikan dan pemantauan selama tiga minggu bagi membanteras penyalahgunaan MyKad dalam kalangan warga asing.
“Ketiga-tiga individu terlibat akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Klang hari ini dan boleh disabitkan atas kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – KOSMO! ONLINE