SHAH ALAM – Isteri mangsa tragedi pokok tumbang di Kuala Lumpur pada Selasa lalu mengakui dia dan empat anaknya kehilangan ketua keluarga selepas pemergian suami, Allahyarham Md. Rizal Atan, 47.
Nor Pahidah Mat Zaman, 43, berkata, arwah suaminya merupakan pencari rezeki tunggal buat mereka enam beranak selepas dia berhenti kerja sebagai ejen sebuah syarikat pelancongan tujuh tahun lalu.
“Saya berhenti kerja kerana mahu membesarkan anak-anak. Tetapi sekarang saya hilang arah kerana suami sudah tiada,” katanya ketika menerima lawatan pegawai Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Seksyen 24, di sini hari ini.
Menurut wanita itu, perbelanjaan pendidikan tiga anaknya menjadi keutamaan ketika ini selain perbelanjaan harian dan sewa rumah yang berjumlah lebih RM2,000 sebulan.
Jelas Nor Pahidah, dia bersedia untuk bekerja sekiranya anak bongsunya berusia empat tahun sudah bersekolah.
Bercerita mengenai kejadian yang menimpa arwah suaminya, wanita itu memberitahu, lelaki itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, malah sempat bersalaman sebelum ke tempat kerja.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, pihaknya mendapati keluarga arwah layak mendapat bantuan daripada LZS berikutan Nor Pahidah tidak bekerja.
“LZS memberikan bantuan kewangan RM500, sewa rumah dan makanan secara bulanan. Anak arwah layak menerima bantuan pembiayaan pendidikan, namun perlu mengemukakan dokumen kepada LZS,” katanya. – KOSMO! ONLINE