fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: Azalina tegur Abdul Hadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina ketika ditemui selepas jelajah mesra bersama komuniti Orang Asli di Kampung Tun Abdul Razak, hari ini.

HULU SELANGOR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ditegur supaya jangan menjadi munafik dengan menyebarkan ketakutan dalam kalangan rakyat terhadap DAP apabila tidak lagi sehaluan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sepatutnya bersikap lebih terbuka berhubung perkara berkenaan.

“Dulu boleh, sekarang tak boleh. Dulu sayang, sekarang tak sayang. tak boleh macam itu. Jangan lah tak konsisten. Kenapa dulu tak ada pula isu yang sama ditimbulkan.

“Bagi saya kita perlu profesional sebagai ahli politik. kita kena sokong atas ideologi. Kalau beri sokongan kerana elemen menakutkan-nakutkan kononnya, (isu agama, kaum dan raja), (itu) bukan pendekatan politik yang matang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas jelajah mesra bersama komuniti Orang Asli di Kampung Tun Razak di sini, hari ini.

Untuk rekod, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, calon PN, Khairul Azhari Saut, calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Terdahulu, Abdul Hadi dilapor menggesa pengundi di Kuala Kubu Baharu supaya tidak mengundi calon PH dari DAP, Pang Sock Tao, selain mendakwa parti dianggotai wanita itu mengamalkan pendekatan ekstrem.

Abdul Hadi menerusi amanatnya pada Ceramah Perdana PN malam tadi, mendakwa, DAP yang lahir daripada PAP di Singapura mahu merampas kuasa politik secara halus dan licik hingga boleh menyebabkan kekacauan di dalam negara.

Mengulas mengenai hasrat PN untuk mengemukakan petisyen selepas pilihan raya, Azalina berkata, beliau tidak memahami tujuan sebenar ancaman tersebut, namun memaklumkan ia merupakan hak setiap parti.

Ditanya sama ada PH akan membuat perkara yang sama sekiranya kalah, beliau menegaskan penghormatan perlu diberikan kepada pengundi untuk memilih wakil rakyat.

“Kalau kita gusar dengan proses demokrasi memilih dalam elemen memberi kewangan, memberi duit kepada pengundi. Bagi saya tidak begitu profesional dan adil.

“Sebab pengundi akan menuntut kepada wakil rakyat yang mereka undi dan tuntutan adalah untuk memberikan perkhidmatan kepada mereka,” jelasnya.

Justeru, Azlina berkata, pengundi tidak boleh menyamakan PRK dengan Pilihan Raya Umum (PRU) kerana ia tidak menentukan Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri.

“Jadi, dia nak pilih wakil rakyat kawasan dia. Isu ini mesti kita faham. (Pihak lawan) kata undi ini boleh tukar Perdana Menteri dan Menteri Besar. Membohong itu semua.

“Keutamaan adalah pilih wakil rakyat untuk memberi khidmat kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ini. Kalau dia tak faham, bermula 12 Mei ini, mereka hidup dengan siapa yang mereka pilih,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI