PETALING JAYA – Mana-mana premis Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dijadikan stor atau tidak dibuka sebagaimana perjanjian akan diberi notis dua bulan untuk dikosongkan.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan tersebut sebagai salah satu langkah drastik pihaknya dibawah Program Transformasi Premis Komersil Mara.
“Semua Pengurus Mara Daerah seluruh Malaysia telah diarahkan oleh pihak pengurusan untuk bertindak.
“Saya sendiri akan pantau dan dapatkan maklumat mengenai perkembangannya daripada pihak Pengurusan melalui Mesyuarat Majlis setiap bulan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, program transformasi itu bukan sekadar untuk merubah wajah premis-premis Mara seperti arked dan bazar supaya nampak lebih segar dan progresif dengan peredaran zaman.
Ujar beliau, paling penting Program Transformasi Premis Komersil Mara mampu menjana ekonomi dengan membuka peluang kepada usahawan Bumiputera yang serius untuk memajukan perniagaan. – KOSMO! ONLINE