KUALA LUMPUR yang menjadi kota metropolitan kepada ratusan ribu rakyat untuk tinggal dan mencari rezeki kini diancam pelbagai permasalahan dan bencana.
Selain isu banjir kilat dan kesesakan jalan raya yang tidak pernah diselesai secara tuntas, isu pokok tumbang juga sudah menjadi semacam bencana bermusim.
Dalam keadaan cuaca hujan yang tidak menentu, ditambah lagi pelbagai projek pembangunan yang mendorong kepada aktiviti menggali tanah, pokok besar yang menghiasi jalan-jalan di ibu negara sudah dianggap sebagai satu ancaman.
Dan pada petang 7 Mei lalu, warga Kuala Lumpur berduka hanya kerana kejadian sebatang pokok tua yang tumbang di tengah-tengah ibu negara.
Kesan kejadian itu agak dahsyat dan merosakkan 18 buah kenderaan. Selain itu, ia turut menjejaskan beberapa kemudahan awam dan mengganggu pergerakan monorel.
Lebih mendukacitakan apabila seorang pemandu yang tidak berdosa menjadi korban.
Susulan kejadian itu, timbul pelbagai desakan daripada pihak-pihak berkepentingan termasuk pimpinan kerajaan negeri dan aktivis alam sekitar yang mahu tindakan segera dilakukan bagi mengelak kejadian sama berulang.
Malah, ada pihak yang bertegas dan mendesak agar tindakan menebang kesemua pokok-pokok tua yang ada di sepanjang jalan utama di ibu negara dilakukan dengan segera.
Sebelum ini, akhbar Kosmo! dalam laporan khas muka depannya pada 18 April 2021 ada mendedahkan mengenai ancaman pokok-pokok tua yang berisiko tumbang sehingga boleh mengorbankan nyawa.
Berdasarkan laporan itu, terdapat kira-kira 500 pokok tua di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur dan 57 daripadanya dikategorikan sebagai berisiko.
Ini bermakna, nyawa ribuan pengguna yang berada di atas jalan raya mungkin jadi pertaruhan terutama ketika hujan lebat dan angin kencang.
Tidak hanya kepada pengguna jalan raya, malah nyawa penjalan kaki, penjaja jalanan, pelancong asing termasuk pelajar sekolah yang sering melewati laluan yang dipenuhi pokok-pokok usang juga turut terancam.
Hakikatnya, pokok-pokok tua yang berusia lebih 50 tahun ini mungkin tidak sewajarnya lagi dijadikan sebagai pokok hiasan ataupun lokasi untuk berteduh daripada cuaca panas.
Isu ini juga tidak hanya hanya tertumpu kepada pokok-pokok tua yang berada di ibu negara, malah turut melibatkan bandar-bandar besar di seluruh negara.
Akhirnya, kita tidak akan mengingati berapa banyak pokok yang tumbang, tetapi kita akan mengenangkan nasib keluarga yang terkorban atas kejadian ini. – KOSMO! ONLINE