ISU keganasan tidak akan memberi kesan besar kepada perancangan Harimau Malaya untuk menghadapi baki dua aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bulan depan.
Walaupun tanpa dua pemain, Akhyar Rashid dan Faisal Halim, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin tetap percaya pengendali pasukan, Kim Pan-gon mempunyai resipi berbeza untuk membentuk pasukan terbaik.
“Pan-gon tahu Faisal tidak dapat main, jadi dia akan bersiap sedialah. Mana boleh kita menyerah lawan Kyrgyzstan, kita mesti lawanlah. Apa pun saya yakin dengan usaha dan peluangnya masih lagi 50-50.
“Saya sudah bercakap dengan Pan-gon dan dia tahu kita akan berusaha keras. Pan-gon akan kenal pasti siapa yang gantikan Faisal dan dia juga akan pantau keadaan (Akhyar) setiap hari.
“Pan-gon juga akan pergi melawat Akhyar pada Jumaat (hari ini) atau Sabtu,” katanya.
Aksi dengan Kyrgyzstan akan dilangsungkan di tempat lawan pada 6 Jun ini sebelum melengkapkan saingan bertemu Taiwan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur lima hari kemudian.
Dalam masa sama, Hamidin juga akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan segala aspek keselamatan dapat dipenuhi sepanjang kem latihan pusat.
“Dia memahami benda ini dan dia pun ambil langkah jaga-jaga. Panggilan kebangsaan selepas ini, kita lebih berhati-hati terutama dari segi keselamatan di dalam negara dan luar negara,” katanya.