JOHOR BAHRU – Seorang nenek berusia 75 tahun antara empat suspek yang ditahan selepas terbabit dengan sindiket pengedaran dan pembungkusan dadah di sebuah rumah atas air di Pontian, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan pukul 1.30 pagi itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah seberat lebih 26 kilogram (kg) bernilai RM4.3 juta.
Katanya, serbuan itu merupakan hasil risikan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.
“Modus operandi suspek adalah dengan menjadikan rumah atas air sebagai tempat memproses dan membungkus dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Biasanya lokasi yang dijadikan pusat kegiatan haram ini kawasan perumahan berpengawal dan berpagar seperti pangsapuri, tetapi ini rumah biasa.
“Kalau kita lihat rumah ini, kita mungkin tidak mengesyaki ia digunakan (berpenghuni), ini salah satu modus operandi baharu yang digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Dadah yang dirampas adalah 25.5 kg serbuk ektasi, 970 biji pil eramin 5 seberat 275 gram (g), 1,700 biji pil ektasi (532g), sepeket ketamin (232 g) dan 15 peket ganja (369g) yang bernilai RM4.32 juta.
Turut dirampas pelbagai alat memproses dan membungkus serbuk ekstasi, enam buah kereta, wang tunai RM21,000 dan mata wang tunai Dollar Singapura SGD $13,000 (RM45,676) turut dirampas. – KOSMO! ONLINE