LE MANS, Perancis – Pelumba Sepanyol, Marc Marquez tiba ke Grand Prix (GP) Perancis hujung minggu ini dengan keyakinan tinggi selepas hampir melakar kemenangan pertamanya pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini pada GP Sepanyol bulan lalu.
Bagaimanapun, impiannya untuk menamatkan badi kemenangan di Jerez tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas bersaing hebat dengan juara dunia MotoGP sebanyak dua kali, Francesco Bagnaia yang menjuarai perlumbaan tersebut.
Kali terakhir Marquez mencipta kemenangan pada Oktober 2021 bersama Repsol Honda.
Bagaimanapun, pelumba berusia 31 tahun itu enggan membincangkan peluangnya merangkul gelaran dunia MotoGP ketujuh biarpun ketika ini sudah tiga kali menaiki podium apabila menamatkan perlumbaan Sprint di tempat kedua berturut-turut pada GP Portugal dan GP Americas.
Sebelum menyertai Gresini Racing, Marquez diganggu kecederaan dan kemudian masalah diplopia iaitu masalah penglihatan yang menyebabkan objek dilihat berganda dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saya tampil dengan baik musim ini kerana semuanya dalam perancangan dan setiap perlumbaan prestasi saya semakin baik. Kini, saya perlu konsisten kekalkan prestasi.
“Mengenai gelaran dunia, bagi saya ia terlalu awal untuk dibicarakan. Bukan bermakna saya tidak mahu memburu gelaran tersebut, tetapi saya mungkin akan berdepan masalah dengan beberapa litar yang lain selepas ini,” katanya.
Selepas mengharungi empat pusingan, pelumba Pramac, Jorge Martin kekal mendahului dengan 92 mata disusuli Bagnaia di tangga kedua (75 mata) diikuti Enea Bastianini di tempat ketiga (70 mata).
Marquez pula ketika ini berada di tangga keenam dengan mengumpul 60 mata dan hanya dipisahkan 25 mata di belakang Martin. – AGENSI