ALOR GAJAH – Seorang lelaki nekad berenang menyeberangi sungai dan meninggalkan kekasihnya di dalam kereta yang terbabas gara-gara takut dicekup berkhalwat di Masjid Tanah, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam apabila kereta jenis Perodua Myvi dinaiki pasangan itu tiba-tiba memecut laju di Hutan Simpan setelah berselisih dengan sebuah unit kereta peronda (MPV).
Setibanya di Paya Lebar, kenderaan itu terbabas ke tebing sungai dan pemandu lelaki berusia 30 tahun berenang menyeberangi sungai bagi meloloskan diri.
“Pemandu itu meninggalkan teman wanitanya yang berusia 26 tahun di dalam kenderaan.
“Pemeriksaan dilakukan ke atas kenderaan itu tidak menjumpai barang salah, namun semakan lanjut mendapati pemandunya mempunyai tiga rekod kes dadah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, wanita tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan.
“Wanita itu dihantar ke rumah ibu saudaranya di Telok Gong oleh Unit MPV.
“Suspek dipercayai melarikan diri kerana takut ditahan berkhalwat dengan teman wanitanya yang baru dikenali,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE