fbpx

Lagu runut bunyi, publisiti percuma Adira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADIRA yang diberi julukan Ratu Soundtrack kini muncul dengan single berjudul Kasih.

BERDIRI ampuh sebagai wanita berjiwa kental dalam melayari kehidupan, perjalanan kerjaya penyanyi Adira Suhaimi kekal menjadi dambaan dan tagihan ramai peminat.

Biar diuji keruntuhan rumah tangga, semangat ibu kepada empat cahaya mata itu sentiasa mekar dalam mengharungi karier sekali gus mengukuhkan lagi jenama seninya dalam industri muzik tempatan.

Ratu OST

Tidak hairan apabila penyanyi yang terkenal dengan jolokan Ratu Soundtrack (OST) kini muncul dengan single berjudul Kasih yang menjadi runut bunyi bagi filem Memoir Seorang Guru.

Selepas lebih sedekad dalam industri muzik, Adira yang sudah merakamkan lebih 10 lagu OST mengakui dendangan tersebut sarat dengan emosi.

Bahkan, dia mendedahkan bertuah apabila setiap lagu runut bunyi yang dirakamkan kerap diputarkan baik di pawagam, televisyen atau radio.

“Kelebihan diberi umpama promosi percuma apabila lagu yang dirakam dijadikan runut bunyi sesebuah filem atau drama rantaian.

“Jika mahu mengeluarkan bajet untuk mempromosikan lagu dalam televisyen atau radio tentu sahaja memerlukan kos tinggi.

“Jadi, apabila sesebuah lagu kerap dimainkan dalam filem atau drama rantaian, mudah bagi lagu itu melekat dalam jiwa penonton,” katanya.

Promosi percuma

Naib juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu turut menganggap dirinya bertuah dapat bekerjasama dengan ramai komposer hebat.

Bagi anak jati Sabah itu, menyanyikan lagu runut bunyi sebagai satu penghargaan terhadap kemampuan vokal serta bakatnya.

“Saya boleh menyampaikan sebarang lagu, asalkan melodi dan liriknya sesuai dengan suara kerana saya juga tidak cerewet disebabkan kebanyakan lagu yang saya terima sedap didengar.

“Kepercayaan yang diberi komposer dan penulis lirik untuk merakamkan sesebuah lagu juga tidak akan diambil mudah. Saya akan pastikan beri komitmen penuh.

“Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih atas peluang diberi. Bagi saya, sudah jadi tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik dalam kerja rakaman,” ujarnya.

Memoir Seorang Guru

Single Kasih yang diterbitkan Nova Music adalah hasil ciptaan Ayden Ali, Adeef Den, Iqie Hugh serta lirik oleh Datuk Arisz Abd Rahman.

Sementara Memoir Seorang Guru yang diadaptasi daripada novel Azizi Abdullah menampilkan Datuk Rosyam Nor sebagai teraju utama selain Ellie Suriaty, Zul Huzaimy, Nabila Huda, Johan Asa’ri, Trisha Ooi dan ramai lagi.

“Melihat barisan pelakon serta plot kisah, saya pun tidak sabar menunggu filem ini muncul di pawagam,” tambahnya.

Filem arahan Kyoll Hamzah yang bakal ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 30 Mei depan diterbitkan Kalam Ariff Holdings Sdn. Bhd. (KAHSB) dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI