fbpx

K2

Kiwanis hargai pengorbanan lapan ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SULTAN SHARAFUDDIN (tujuh dari kiri) dan Tengku Permaisuri Norashikin (lapan dari kiri) bersama para pemenang Anugerah Ibu Kiwanis 2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebuah organisasi sedunia yang berdedikasi untuk berkhidmat kepada kanak-kanak dan komuniti, Kiwanis telah menganjurkan Anugerah Ibu Kiwanis 2024.

Anugerah tersebut bertujuan memberi penghormatan kepada para ibu terutamanya mereka yang menghadapi cabaran menjaga anak orang kurang upaya (OKU) atau diri mereka sendiri istimewa.

Majlis yang dihadiri hampir 500 tetamu dan penaja itu disambut meriah dengan kehadiran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi Penganjur, Bekas Gabenor dan Pengerusi Akademi Kiwanis, Datuk Fatimah Saad berkata, pihaknya memberi tabik hormat kepada pemenang Anugerah Ibu Kiwanis kerana pengorbanan mereka bukti kekuatan sebenar.

“Anda semua memberi inspirasi kepada keberanian, ketabahan dan kejayaan di atas kesukaran dalam komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk menjamin kesejahteraan anak-anak,” katanya.

Turut menyampaikan anugerah ialah Tengku Permaisuri Norashikin kepada lapan pemenang iaitu Sia Siew Chin, Zaharah Ali, Cordelia Lee Suet Fun, Tan Ken Moi, Wan Noriah Wan Ramli, Chia Gek Hong, Hanizan Hussin dan Prof. Dr. Loke Siew Phaik.

Dalam proses pemilihan Anugerah Ibu Kiwanis 2024, ketelusan menjadi keutamaan dan diadili beberapa panel jemputan khas.

Antaranya ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Zuhami Omar; Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Nori Abdullah Badawi; pakar perunding kanan pediatrik, Datuk Dr. Amar Singh; aktivis masyarakat, Senator Datuk Dr. Ras Adiba Radzi dan bekas Gabenor Kiwanis Malaysia, Rosemary Tan.

Setiap penerima anugerah membawa pulang wang tunai RM5,000 dan pelbagai hadiah lain termasuk pakej percutian, produk kecantikan serta baucar beli-belah.

Majlis itu turut menyaksikan Puan Sri Khir Johari dianugerahkan gelaran Ibu (Mama) Kiwanis yang disampaikan oleh Tengku Permaisuri Norashikin.

Puan Sri Khir telah menjadi penaung Kiwanis sejak suaminya, Allahyarham Tan Sri Khir Johari menubuhkan Kiwanis di Malaysia pada tahun 1976.

Untuk makluman, Kiwanis Malaysia mempunyai keahlian lebih 1,000 ahli dan sukarelawan komited untuk memperkayakan komuniti melalui pelbagai inisiatif.

Ini termasuk pengoperasian 15 pusat khas kanak-kanak dan penubuhan enam projek tetap. Menariknya, projek-projek tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan kanak-kanak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI